Sunday, April 14, 2019

Siapa Bergantung di Kaki Sarah?

   Sarah duduk sambil memeluk tubuhnya menahan kesejukan. Hujan yang turun sejak pukul 6 petang tadi masih tidak menunjukkan tanda mahu berhenti. Sarah melihat jam di tangan dan mengeluh sendiri. Jam sudah menunjukkan angka 9.30 dan bas terakhir yang melalui kawasan industri tempat kerjanya sudah lama berlepas.

   "Kalaulah si Wong tu boleh sabar sampai esok tentu aku tak terlepas bas..." monolong Sarah sendirian. Beberapa orang pekerja syif malam berlari masuk ke dalam lot kedai tempat kerjanya. 

    "Belum pulang lagi Sarah?" Tegur Rudi, salah seorang yang bakal bertugas malam itu. Dia mengelap peluh di dahi dan menanggalkan baju hujannya. Sarah cuma menggeleng kepala. "Sekarang dah nak masuk pukul sepuluh... Bas sudah tidak lalu. Teksi pon tak banyak waktu hujan" kata Rudi lagi. 

    "Kenapa lewat pulang ni Sarah?" Tegur seorang lagi pekerja, Mesrani atau lebih mesra dipanggil Buk Ani di kalangan rakan sekerja.

     "Mr Wong lah Buk Ani... Minta saya siapkan laporan untuk 5 tahun lepas. Tak boleh tunggu besok" Jelas Sarah. Buk Ani dan Rudi mengangguk. Mereka faham benar baran Mr Wong. Tidak mahu mengalah walaupun hal kecil. 

       Mr Wong merupakan pengurus syarikat pembungkus makanan di sebuah pekan industri kecil di utara tanah air. Pemilik syarikat tersebut merupakan bapa saudaranya, Mr William Goh yang menetap di Taiwan. Mr Wong diberi kepercayaan oleh bapa saudaranya untuk menguruskan kilang tersebut sejak dia berusia 20 tahun. Mr Wong juga terkenal dengan sikap barannya. Beberapa kali semenjak Sarah berkerja di syarikat itu sejak 2 tahun dahulu, pihak polis datang ke kilang untuk bertemu Mr Wong kerana bergaduh atau memukul isterinya, Cecilia dan dua anak mereka, Gerard dan Paul. Sarah sendiri pernah luka di kepala akibat dibaling fail kulit tebal kerana lewat 2 jam menghantar laporan yang di minta. 

Tuesday, March 19, 2019

Misteri Maria


       Hairi dan Azwin sudah berkahwin hampir dua tahun dan sepanjang dua tahun itu mereka tinggal berasingan disebabkan kekangan kerjaya masing-masing.
       Detik-detik perkenalan merpati dua sejoli ini bermula sejak bangku sekolah menengah lagi. Kedua-dua mereka bersekolah di sebuah asrama penuh di utara tanah air. Perkenalan mereka berterusan hingga ke jinjang pelamin.
      Azwin merupakan seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat terkemuka di selatan tanah air manakala Hairi merupakan seorang pendidik di sebuah kolej swasta di ibu negara. Walaupun masing-masing tinggal berjauhan tetapi Hairi sentiasa mencari peluang sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk berjumpa isterinya. Saban hari mereka akan sentiasa berhubung walaupun sekadar bertanya khabar melalui telefon sambil melepaskan rindu.
    Sebagai pendidik di sebuh kolej, Hairi diberikan tempat tinggal pelajar di sebuah apartment. Apartment tersebut mempunyai 2 bilik dan 1 bilik air bukanlah sebuah rumah yang ideal baginya tetapi memandai kerana Hairi tinggal berseorangan selepas teman serumahnya berpindah selepas berkahwin.
    Rutin harian Hairi pula amat membosankan. Hairi merupakan seorang yang agak kurang bersosial. Sekali-sekala Hairi akan keluar bersama teman sekerja dan adakalanya dia akan mengajak beberapa pelajar yang tinggal di blok apartment untuk keluar makan dan menonton wayang. Selebihnya Hairi lebih selesa berkampung di kubikel pensyarah atau rumahnya seorang diri untuk menyiapkan material pembelajaran.
     Pada suatu petang Jumaat, Hairi seperti biasa akan menyiapkan semua lembaran laporan dan material sebelum bertolak ke selatan tanah air. Ketika sedang leka, Hairi disapa seorang gadis cantik berbaju kebaya kuning.
    "Maaf, boleh saya tahu di mana bilik ketua jabatan Industri Perhotelan?" sapa gadis manis tersebut. Hairi segera mendongak melihat gadis tersebut yang tersenyum. Kulitnya putih mulus dengan solekan minima. Hairi melihat jam di skrin komputernya. Jam sudah menunjukkan angka 7 malam. Hairi mengeluh. dia terlalu kusyuk dengan kerja sehingga lupa dia perlu bergegas ke selatan.
     "Kamu dah salah jabatan ni. Sepatutnya kamu kena ke blok paling depan depan foyer utama" kata Hairi sambil mengemas barang-barangnya. Hairi melihat gadis itu menggangguk dengan muka resah. Hairi segera melihat suasana sekeliling. Cuma lampu koridor dan kubikalnya sahaja yang menyala. Suasana bangunan berusia 45 tahun yang agak usang itu agak gelap. Mungkin gadis tu takut di apa-apakan apatah lagi hanya mereka berdua yang berlainan jantina sahaja di situ. Risau cerita tidak manis menyinggah pula. "Mari ikut saya. Saya pun mahu lalu jabatan Perhotelan. Satu jalan sahaja."
kata Hairi.
     Gadis tersebut tersenyum manis. "Terima kasih, dah lama saya mencari... Pengawal itu pula tak faham bahasa Melayu..."  kata gadis tersebut sambil memeluk failnya.
     "Kamu ni pelajar baru ke? Sudah hampir setengah semester masih tak tahu di mana bilik ketua jabatan" tanya Hairi sambil melangkah laju tanpa melihat gadis tersebut.
     "Betul. Saya pelajar baru. Sepatutnya saya mendaftar 3 bulan lepas tetapi saya kemalangan..." kata gadis tersebut. Hairi mengangguk. Ketika menghampiri foyer di hadapan jabatan Perhotelan, gadis tersebut meminta nombor telefon Hairi. " Maafkan saya encik, boleh saya dapatkan nombor telefon encik? Mudah jika saya hendak bertanya apa-apa kemudian. Lagipun saya belum kenal sesiapa di sini"
     Hairi mengangguk sambil menghulurkan kad perniagaannya. Gadis tersebut menyambut kad tersebut sambil tersenyum. "Terima kasih Encik Hairi. Nama saya Maria."
     "Baik kamu datang semula Isnin. Lagipun semua pensyarah dah balik waktu ini. " kata Hairi. "Kamu tinggal di mana?"
      "Umm... saya datang dari Taiping. Saya tak kenal sesiapa jadi saya tak pasti nak menginap di mana sekarang... Puan Kalsom dah berjanji hendak dapatkan saya penginapan.. sebab itu saya sedang cari dia" Kata Maria dengan suara terketar-ketar menahan tangis. Hairi mula berasa simpati.
     "Mari saya bawa kamu ke pejabat Hal Ehwal Pelajar. Nanti mereka akan bantu" kata Hairi sambil membantu Maria mengangkat beg pakaiannya. 'Ringan betul' detak Hairi dalam hati ketika mengangkat beg pakaian tersebut sambil berjalan ke kereta.
   
     Sampai di hadapan pejabat, Maria terus turun sambil mengucapkan terima kasih. Hairi pula terus memandu keluar dari kawasan kolej kediaman untuk ke selatan. Sepanjang perjalanan, Hairi terbayangkan masakan Azwin. Sebulan Hairi bertahan dengan masakan kedai dan mee segera kerana tidak dapat pulang kerana kolej tersebut menganjurkan kejohanan sukan yang turut melibatkan tenaga pengajar. Kerinduan pada sang isteri tidak tertahan lagi... menggunakan alat bebas tangan, Hairi mendail nombor Azwin.
    "Hello, Abang, Azwin lupa nak beritahu Azwin ada rombongan ke Kelantan selama 3 hari dengan budak-budak pejabat. Ni pun sudah dalam bas" Kata Azwin di hujung talian. Hairi mengeluh. Sudahlah dia sudah separuh jalan, isteri tiada di rumah pula. Akhirnya Hairi membelok ke susur keluar terdekat sambil berkira-kira hendak pulang ke rumah ibu bapanya di Kuantan.
    Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Perut Hairi berkeroncong meminta di isi. Hairi segera menelefon sahabat baiknya, Ramli yang kebetulan tinggal di bandar berdekatan. Ramli setuju keluar makan walaupun sudah hampir tengah malam. Mereka berjanji hendak makan di sebuah kedai berdekatan taman perumahan tempat tinggal Ramli.
     Ramli tiba di kedai  makan hampir sejam kemudian. Hairi sempat memesan sate sementara menunggu Ramli. Ramli tersengih seperti kerang busuk ketika duduk di kerusi bertentangan Hairi.
"Sorry bro... anak meragam.. biasalah... orang rumah aku pulak tak boleh bergerak banyak-banyak... nanti terbuka pulak bekas operate tu" terang Ramli. Hairi menjuih bibirnya.
    "Alah... bukan seminggu aku kenal kau... dari belum kahwin sampai anak dah tiga memang lambat mengalahkan orang perempuan. Tak faham aku macam mana kau boleh jadi polis" ejek Hairi sambil ketawa. Ramli cuma tersengih. "Hah... pesanlah apa-apa... aku bayar" kata Hairi.
     Sesudah makan, Hairi akhirnya buat keputusan hendak pulang ke rumahnya di ibu kota. Lagipun jam sudah menunjukkan angka dua pagi. Perjalanan ke Kuantan sekurang-kurangnya empat jam. Sedangkan Hairi sendiri tak cukup rehat. Hairi memecut semula ke ibu kota dan sampai di kolej hampir pukul lima pagi. Hairi melangkah ke unitnya di tingkat enam dengan langkah longlai sambil menyeret beg pakaiannya.
     Hairi berhenti seketika melepaskan lelah di tingkat dua. Hairi malas menggunakan lif kerana Hairi mempunyai fobia berada di ruangan tertutup yang sempit. Lagipun pengalaman terperangkap dalam lif sebulan lalu masih menghantuinya. Hairi memerhati suasana sekeliling... Beberapa lampu bilik di tingkat dua blok kiri masih menyala. Kedengaran suara beberapa pelajar lelaki bersorak. Mungkin menonton perlawanan bola sepak atau bermain permainan atas talian. Di blok sebelah kanan pula kelihatan beberapa pelajar perempuan sedang  berjalan menuju ke lif sambil memakai telekung. Pelajar-pelajar usrah pasti dalam perjalanan ke surau di tengah-tengah blok. Beberapa pelajar perempuan tersebut merupakan pelajar dalam salah satu kelasnya menegur Hairi. Hairi tersenyum dan sambil menganggukan kepala dan menerusan pendakian ke tingkat enam.
    Sekali lagi Hairi berhenti di tingkat 5. Sambil menghilangkan lelah Hairi tertanya-tanya sebab kekurangan staminanya pada ketika itu. Hairi sendiri pelik. Berlari turun naik ke tingkat enam sepuluh kali pun bukan masalah padanya. Tapi entah mengapa waktu itu Hairi seolah-olah terlalu penat. Matanya pula berat sahaja mahu dibuka. 'Sikit aje lagi... lepas ni tidurlah sampai petang pun' Hairi memujuk diri sendiri. Ketika kaki mahu melangkah mendaki anak tangga, Hairi disapa suara gadis manis petang kemarin.
     "Eh, Encik Hairi... nak saya bantu?" Soal Maria. Hairi memandang ke arah gadis tersebut. Rambutnya panjang hingga ke pinggang. Dia memakai baju T berwarna kuning pucat dan berseluar sukan. Tanpa menunggu balasan Hairi, Maria terus mencapai beg baju di tangannya sambil berjalan naik ke tingkat enam. Hairi mengekori Maria tanpa banyak soal. Sampai di hadapan pintu unit Hairi, Maria meletakan beg di lantai sambil tersenyum.
      "Macam mana awak tahu ni rumah saya?" soal Hairi. Maria cuma tersenyum sambil menunding ke papan putih di hadapan pintu unitnya. Nama dan nombor telefon jika berlaku kecemasan ditulis di situ. Hairi ketawa. "Iya lah... penat sangat saya ni" kata Hairi. Selepas megucapkan terima kasih, Hairi masuk ke dalam rumah. Dia terus merebahkan badan ke sofa dan terus terlelap.
      Azan Asar dari surau bawah mengejutkan Hairi dari tidur. Hairi melihat jam di dinding. Hampir pukul 5. Hairi bingkas bangun untuk mandi dan menunaikan solat. Sesudah solat Hairi segera memeriksa telefon bimbitnya. Whatsapp daripada Azwin berserta beberapa missed call dari Azwin dan Ramli. Hairi mengeluh lagi. Entah kenapa badannya penat seperti baru lepas menebas 10 ekar hutan.

        Hairi bangun dari sofa untuk ke dapur. Seharian tidur tanpa makan dan minum membuatkan perutnya lapar. Ketika melalui bilik tidur kosong, mata Hairi terpandang kelibat seorang perempuan berdiri tegak di hujung katil. Hairi yang terkejut akan kelibat wanita itu terduduk ke lantai. " Allah!" jerit Hairi.

        Peluh jantan membasahi dahi Hairi. Dia segera beristifar sambil merangkak untuk meninjau bilik tidur tersebut. Tiada sesiapa. Hairi mengurut dada. Akhirnya Hairi bangun dan berjalan ke bilik tidurnya. Dicapainya baju kemeja T berwarna ungu yang bersangkut di belakang pintu dan menyarung seluar jeans. Hairi kemudian segera mencapai dompet dan kunci kereta.

      Setelah pasti pintu rumahnya berkunci, Hairi memakai kasut sambil berjalan menuju ke tangga. Kelihatan anak-anak Puan Mariam, pensyarah kanan Matematik sedang menyusun kasut di luar rumah mereka. Suami Puan Mariam, Deraman pula sedang sibuk menggembur tanah di dalam pasu bunga di luar rumah.

      "Hairi!" jerit Deraman. Hairi tersenyum sambil mengangkat tangan. Deraman menghentikan kerjanya sambil berjalan ke arah Hairi. Setelah bersalaman, Deraman membuka bicara. 

      "Nak ke mana?"

     "Keluar makan sekejap. Biasalah orang bujang... " balas Hairi sambil ketawa.

     "Orang bujang... " ketawa Deraman. "Orang rumah tu apa pulak... Kau jangan berangan bujang Hairi... Kak Yam kau dengar nanti... Aku pun kena bebel."

   "Abang dengan Kak Yam tak jadi balik kampung ke?" Soal Hairi. Deraman ada beritahu Hairi beberapa hari lalu yang mereka hendak pulang ke kampung minggu ini di Felda Rompin.

      "Cadangnya begitulah... Si angah pula demam malam tadi... Muntah-muntah." Balas Deraman sambil melihat ke arah anak-anaknya. "Adik! Jangan main pasir kucing tu!" Jerkah Deraman pada anak bongsunya yang berusia tiga tahun, Hanani.

      Hairi ketawa melihat gelagat anak beranak itu. Setelah berbual hampir setengah jam dia meminta diri. Hairi berlari turun ke kereta apabila dia terlihat beberapa pelajarnya yang baru pulang dari padang. Mereka menyapa Hairi dan berlalu menaiki lif. Sebelum sampai ke kereta dia melihat Puan Mariam yang baru pulang dari menghantar seorang pelajar perempuan dari hospital. Dua pelajar perempuan lain dilihat memapah pelajar tersebut.

         "Kak Yam... Kenapa tu?" Soal Hairi sambil membantu pelajar-pelajar perempuan menekan butang lif. Salah seorang felo wanita, Cik Kartini mengekori mereka dari belakang.

            "Akak pun tak pasti Hairi... Sejak Maghrib semalam ramai pelajar demam. Kebanyakannya perempuan. Sampai semua felo terpaksa batalkan cuti."

            "Eh... Saya tak tahu pun?" Hairi menggaru kepala yang tidak gatal. "Doktor kata apa?"

     "Doktor kata mereka tak demam... Tapi masing-masing meracau...."

      "Ada orang bawa benda ni..." Kata Ustaz Hanafi yang tiba-tiba menyampuk. Ustaz Hanafi merupakan salah seorang felo yang bertugas. "Aku pun rasa blok ni panas sejak semalam"

          Hairi segera ke meminta diri apabila Ustaz Hanafi dan Puan Mariam berbual kerana terlalu lapar tetapi Hairi telah berjanji akan membantu jika ada permasaalahan lain pada malam itu.
        Hairi memandu ke pusat beli belah terdekat. Selain ingin makan Hairi juga perlu membeli barangan dapur apatah lagi dia perlu menunggu lagi seminggu untuk pulang ke selatan bersama Azwin. Sesampainya Hairi di pusat beli belah, dia segera menelefon abangnya, Hazri yang kebetulan bertugas di luar kawasan berdekatan dengan tempat tinggalnya. Hazri yang kebetulan dalam perjalanan menaiki kereta api bersetuju untuk makan bersama.
         Usai membeli barang dapur, Hairi segera ke restoran makanan segera di dalam pusat beli belah tersebut. Dia segera duduk di sebuah meja kosong sementara menunggu Hazri sambil makan roti yang dibeli untuk mengalas perut. Hairi menjeling jam di telefon bimbitnya. 'Kalau tak lambat memang tak sah'. Getus Hairi sendirian. Tepukan di bahu mengejutkan Hairi.

    "Lama tunggu?" Tegur Hazri sambil mengambil tempat bertentangan dengan Hairi. "Ramai betul orang hari ini. Aku kena tunggu dua kali kereta api baru boleh naik."

       " Hari minggu. Biasa lah. Kau sihat?" Soal Hairi tanpa menjawab soalan abangnya.
     
         "Macam ni lah. Ada masa batuk. Musim dia sekarang. Oh ya... Kak Aida kau kirim salam"

   "Waalaikummusalam" Jawab Hairi. "Kau duduklah. Biar aku pergi beli makanan. Kau nak makan apa?" Soal Hairi sambil berdiri.

        "Ikut kau lah." Kata Hazri sambil menghulur not RM50 kepada Hairi tetapi Hairi segera menolak. 'Sekali sekala belanja abang sendiri tak miskin pun' getus Hairi.

        Usai makan bersama Hairi meminta diri untuk pulang. Hazri pula meminta diri untuk berjumpa sahabat lama di medan selera.
         Hairi segera memandu masuk ke kawasan kolej. Suasana kolej agak sunyi kerana kebanyakan pelajar masih keluar dan ada yang pulang berhujung minggu di rumah. Ada juga beberapa kelab dan persatuan yang membuat lawatan ke pulau peranginan terdekat. Hairi memakir keretanya bersebelahan kereta Deraman. Kelihatan Deraman duduk mencangkung di sebelah Ustaz Hanafi sambil berbual. Hairi mengangkat tangan dan berjalan ke arah dua lelaki berusia 40an itu. Kerut di wajah Ustaz Hanafi menimbulkan tanda tanya. Hairi bersalaman dengan mereka.
     
  "Dari mana Hairi?" Soal Ustaz Hanafi memulakan bicara. Deraman dan Ustaz Hanafi bingkas bangun dan berjalan ke arah meja bulat berdekatan kolam ikan yang kering di hujung blok tempat tinggal mereka. Hairi mengekori mereka.

        "Pergi makan dengan abang saya tadi Ustaz. Kenapa muka macam baru lepas nampak hantu ni?" Seloroh Hairi yang mengambil tempat duduk di sebelah Deraman.

      "Engkau ni Hairi... Mulut celupar betul!" Tegur Deraman. Hairi ketawa kecil sambil meraut muka. Entah kenapa sakit betul kepalanya sejak bangun tidur tadi. "Kau macam tak sihat aje Hairi?"

           "Entahla bang... Sejak semalam penat lain macam... Nak kata tak cukup tidur rasanya terlebih tidur" Kata Hairi. Cermin matanya ditanggalkan dan diletak di atas meja. Ustazah Maznah, isteri ke dua Ustaz Hanafi datang menghidangkan kopi panas dan cucur jagung kepada mereka.

        "Minumlah. Air orang bujang aje" kata Ustaz Hanafi sambil mengunyah cucur panas. "Keropok lekor yang Faizah beri semalam ada lagi?" Soal Ustaz Hanafi kepada isterinya. Isterinya meminta diri sebentar dan kembali dengan sepinggan keropok lekor dan pencicah.
         Setelah mengucapkan terima kasih mereka makan sambil berbual ringan dan tiba-tiba mereka disapa oleh seorang felo yang kebetulan baru pulang dari klinik.

      "Assalammualaikum" tegur Encik Badar yang merupakan suami kepada felo tersebut, Puan Mesrani. Hairi dan semua menjawab salam Badar serentak dan Ustaz Hanafi mempelawa Badar duduk. Dari riak wajah Badar, jelas menunjukkan wajah penat. Tanpa dipelawa, Badar terus mencapai cucur jagung dan makan. Ustaz Hanafi segera masuk ke rumah dan membawa keluar teko penuh berisi kopi panas dan cawan.

      Tanpa dipelawa, Badar terus menuang kopi panas. Deraman ketawa kecil melihat gelagat Badar. Ustaz Hanafi yang pada mulanya hanya tersengih tiba-tiba berdiri tegak dengan muka marah. "Pergi kau dari sini! Ini bukan tempat kau!"

       Hairi hampir tersedak akibat terkejut. Badar yang pada mulanya hendak menyuap makanan ke dalam mulut berhenti. "Ustaz.... Kenapa pula ni?" Tegur Deraman. Dia mula tidak sedap hati apabila terpandang celahan pokok serai di belakang rumah Badar. Hairi hampir terjatuh dari kerusi apabila melihat susuk tubuh perempuan yang menghadap tingkap dapur rumah Badar. Kawasan pokok serai itu agak gelap kerana lampu jalan berdekatan mati.

        "Siapa kau? Dari mana kau datang?" Jerkah Ustaz Hanafi lagi. Ustaz Hanafi mula membuka langkah hendak menuju ke kawasan serai tetapi susuk tersebut terus terbang ke belakang bukit.

         "Allah!" Terdengar Puan Mesrani menjerit dari dalam rumah. Badar berlari ke dalam rumahnya di ikuti Deraman dan Hairi. Ustaz Hanafi berlari ke dalam rumah memanggil isterinya dan meminta beberapa pelajar perempuan yang sedang duduk membaca di hadapan bilik untuk memanggil felo wanita yang lain.